Sunday, September 25, 2011

Naelah Al Farafisyah


Naelah al Farafisyah seorang srikandi Islam yang
terulung di zaman Khalifah Uthman al Affan. Beliau
merupakan isteri dan penyejuk hati kepada
Khalifah Uthman al Affan.

Memiliki akhlak yang terpuji sebagai muslimah dan wajah yang
menawan hati setiap insan yang melihatnya.
Beliau merupakan sayap kiri kepada perjuangan
Khalifah yang sukar untuk ditukar ganti dan juga
seorang isteri yang ikhlas, setia dan taat kepada
suami tersayang.

Ayah beliau seorang penganut agama nasrani,
bukan dari golongan Quraisy. Namun disebabkan
kelebihan yang ada pada dirinya menjadikan
Naelah tetap menonjol di kalangan para muslimah
ketika itu. Kecantikan rupa paras, kebijaksanaan
dalam apa jua bidang, kefasihan lidahnya
berbicara serta kematangan fikirannya dalam
membuat keputusan menjadikan beliau tokoh
srikandi Islam yang disegani di mata dunia.

Beliau juga banyak membantu khalifah dalam
perjuangan menegakkan risalah suci di persada
dunia. Peristiwa pengepungan yang berlaku
selama 50 hari di rumah Khalifah benar-benar
menguji tahap keimanan dan kesabaran hatinya.
Beliau tidak pernah berjauhan dengan Khalifah,
sentiasa memberikan semangat dan keyakinan
kepada suaminya agar terus thabat dan sabar
dalam meneruskan perjuangan suci ini.


Pada ketika itu pemberontak tidak henti-henti
menyerang rumah Khalifah dengan batu-batu dan
panah-panah. Akibat dari peristiwa ini tiga orang
telah terbunuh. Walaupun Abdullah telah membuat
perjanjian bertulis dengan orang ramai agar tidak
mencederakan Khalifah, namun ada juga yang
mengingkarinya. Pembelotan tersebut diketuai
oleh Muhammad bin Abu Bakar.

Ketika Muhammad bin Abu Bakar bersama
seorang sahabat memanjat rumah Khalifah,
Naelah menjengukkan kepalanya di tingkap tanpa
menutupi rambutnya. Lalu ditegur Khalifah.

“Naelah, tutupilah rambutmu kerana ia lebih besar
nilai dari nyawaku ini.”

Namun Nelah tidak mengendahkan teguran
tersebut kerana yang lebih penting baginya adalah
menyelamatkan nyawa suami tercinta.

Tatkala kedua-dua pembelot itu berada di
hadapannya, Naelah sudah bersedia untuk
melindungi suami yang dikasihi. Lelaki pertama
cuba menyerang Khalifah dengan pedangnya,
namun dihalang oleh Naelah dengan tangan beliau
hingga putus jejarinya. Kemudian Muhammad bin
Abu Bakar menghayunkan pedangnya pula, tetapi
ditahan oleh Naelah dengan tangan yang lain dan
putus jejarinya. Kemudian dengan kejam
Muhammad bin Abu Bakar mencabut janggut
Khalifah, memukul kepala dan menikam beliau.

Tanpa ada sedikit pun rasa belas kasihan di hati,
Muhammad bin Abu Bakar telah menyelar tubuh
Khalifah hidup-hidup. Namun apabila Muhammad
bin Abu Bakar hendak memenggal kepala
Khalifah, Naelah menahan tubuhnya bersama
Syibah. Malangnya mereka berdua ditolak dan
dipijak-pijak.


Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah, tidak
seorang pun yang berani untuk menguruskan dan
memandikan jenazah beliau. Sehinggalah Naelah
menghantar utusan kepada Jubair bin Hizam dan
Hawatib bin Abdullah al Uzza. Mereka juga tidak
berani untuk mengebumikan jenazah beliau pada
siang hari, akhirnya terpaksa dikebumikan antara
waktu maghrib dan isyak, Naelah mendahului
mereka dengan membawa lampu kecil untuk
menerangi kegelapan malam.

 Peristiwa pembunuhan Khalifah inilah yang
membawa kepada pertelingkahan dan perselisihan
dua puak di antara Muawiyah dan Saidina Ali.
Justeru, ratusan ribuan nyawa umat Islam
terkorban akibat dari peristiwa ini. Bagi
mendamaikan antara puak ini, Naelah telah
menghantar surat kepada Muawiyah yang berbunyi,

“Jika dua golongan dari kaum itu
berperang hendaklah kamu damaikan antara
keduanya. Sekiranya salah satu keduanya
melanggar perjanjian kepada yang lain, maka
perangilah mereka itu sehingga mereka kembali
Surat tersebut dihantar bersama pakaian Khalifah
yang telah koyak dan dipenuhi darah. Pada butang
bajunya diikat janggut khalifah yang dicabut oleh
Muhammad bin Abu Bakar. Beliau juga turut
mengirimkan lima jarinya yang terpotong sebagai
tanda telah berlaku pembelotan dan pembunuhan
ke atas khalifah.

Selepas kewafatan suaminya, Naelah terus
diselubungi kesedihan yang teramat sangat
sehingga datang Muawiyah meminang beliau.
Tetapi pinangan tersebut ditolak mentah-mentah,
untuk mengelakkan dirinya terus dipinang,beliau
telah mencabut dan mematahkan gigi sehingga
orang ramai kehairanan. Ada yang bertanya kepada beliau,
“Mengapa kamu mematahkan gigi-
gigimu yang cantik itu?”

Jawapan yang beliau berikan, “ saya tidak mahu
kesedihan saya terhadap Uthman menjadi pudar
sebagaimana pudarnya kain-kain buruk dan saya
juga tidak mahu lelaki lain mengetahui apa yang ada
pada diriku sebagaimana yang telah diketahui oleh
Uthman.”

Kata-kata tersebut adalah lambang kecintaan dan
kesetiaan beliau kepada suami tercinta yang telah
dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri.
kepada Allah.”

Beliau juga banyak menggubah syair dan sajak
yang diabadikan untuk suaminya. Juga tidak ada
perkahwinan kedua dalam hidupnya selepas
Khalifah Uthman.

Naelah al Farafisyah lambang peribadi mulia
seorang srikandi Islam yang sanggup
menggadaikan jiwa raganya demi
mempertahankan suami tersayang dan Islam
tercinta di zaman beliau.






INDAHNYA CINTA SELEPAS PERNIKAHAN...



Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.

Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.

Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?

Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.

Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!

Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." [Surah Ali 'Imran 3 : 190]

Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.

Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.

Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!

Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilahdaripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?

Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.

"Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina." (Surah al-Furqaan : 66-69).

Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di'sana' nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!
<photo id="1" />




 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...