Sunday, April 10, 2011

Bersabar Apabila Dicaci.


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar  mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawapan itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sebagai umat Islam kita telah diajar oleh Rasulullah saw supaya sentiasa bersabar dan menahan kemarahan kerana dengan tidak bersabar dan marah membuka ruang kepada syaitan untuk menghasut kita. Berdasarkan hadis di atas jelas menceritakan bagaimana malaikat membalas setiap cacian orang terhadap kita. Namun apabila kita membalas cacian tersebut maka syaitan telah mengambil alih dalam usaha untuk menghasut dan memburukkan lagi keadaan...
















JIWA KOSONG...




Duhai insan
Jiwamu terasa kosong?
Perlu peneman
Kekasih hati yang prihatin
Pengisi jiwa ragamu itu
Tapi tahukah kamu
Cinta yang kamu dambakan itu menyakitkan
Sering pula ia mengecewakan

Selagi dia belum halal untukmu
Selagi itu ia menyeksakan jiwamu
Kamu dan dia belum ada ikatan
Itu hakikat!
Meletakkan harapan..

Hanya bakal mengundang kekecewaan demi kekecewaan
Kerana semuanya, masih tiada kepastian

Hatimu kosong?
Isikanlah hatimu itu
Jangan biar kekosongan menyelubung dirimu
Berimanlah
Yakinilah
Bahawa Dia itu sentiasa dekat
Amat-amat dekat
Amat amat amat dekat

Dia tahu kamu sedang berduka
Dia Maha Tahu betapa berat ujian yang menimpa
Dia mendengar segala rintih jiwamu itu
Dirimu itu milikNya
Dan padaNya jua ada pengubat jiwamu yang lara

Isi hatimu..
Dengan cintaNya
Syukurmu atas nikmat-nikmat yang kamu peroleh tidak terhitung jumlahnya
Pengharapan yang kamu gantung hanya padaNya
Sungguh
Ia dapat menenangkan jiwa
Setenang-tenangnya

Bertawakkallah kepadaNya
Yakinlah
Dia punyai aturan untukmu
Dan pastinya ia yang terbaik!
Sedang manusia itu hanya mampu bersangka-sangka

Duhai insan
Isi hati kecilmu itu..
Kerana sesungguhnya Dia sentiasa ada. . .


" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesunguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdo'a kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran."
- Surah Al-Baqarah (2): 186 - 


Wahai Zat Yang membolak-balikkan keadaan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu.”
(HR. Tirmidzi) - Hadis Hasan




TAQWA ITU APA...?


Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.
Menurut Syara', 'Taqwa' bererti : "Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".[2]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya". ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".
Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".
Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".
Menurut Hasan al-Basri : "Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".
Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah".
Martabat Taqwa
Menurut Al-'Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;
Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran
Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan "Kalimat at-Taqwa" dalam firmanNya :
"...lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa ...". (Surah Al-Fath. Ayat : 26)
Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : "لا إله إلا الله محمد رسول الله" atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.
Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.
Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.
Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt )." (Surah Ali Imran. Ayat : 102)
Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa
Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .
Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .
Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.
Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah, sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia.
Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .
Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .
Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah.




Menangislah...



Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangisan:
· Menangis kerana terlalu sedih.
· Menangis kerana terasa hina dan lemah
· Menangis untuk mendapat belas kasihan orang
· Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis

· Menangis orang munafik - pura-pura menangis
· Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati
· Menangis kerana rasa takut
· Menangis kerana cinta
· Menangis kerana gembira
· Menangis kerana menghadapi penderitaan.

"..Dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm : 43)
Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangisan, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil, namun ia tidak pernah kering, ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti? Jika air mata itu ditampung banjirlah dunia ini.

Menangis tercela atau terpuji??? Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.
Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah saw bersabda: Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya, lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum saya pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!."

Air mata yang tiada di tuntut:
· Janganlah menangis kalau tidak tercapai cita-cita. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya.
· Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
· Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
· Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Dari itu...?
Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah S.W.T.
Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.





 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...